Tatkala hati ingin sekali mencoretkan kenangan, jiwa dan
perasaan terusik dengan suatu perubahan yang selama ini aku pernah jangkakan
akan terjadi. Ia memang terjadi seperti mana yang pernah aku gambarkan. Tatkala
aku cuba menerima kehadiran pelangi, aku mengimpikan sang pelangi terus
mewarnai kehidupan ini tanpa pernah hilang keajaibannya. Tanpa aku sedar, sang
pelangi semakin hilang, pudar warnanya. Keindahan yang diberikan hanya untuk
seketika. Bukan aku pinta keindahan itu kekal buat aku, tapi cukuplah tatkala
ia hadir semula, ia masih sedar bahawa aku adalah insan yang sering menunggu
sang pelangi itu muncul. Walau ada ketikanya, aku sendiri tidak pasti bila sang
pelangi akan mewarnai perjalanan ini lagi. Aku mengandaikan kisah sang pelangi
sebagai simbolik. Keindahannya mengagumkan tapi hanya seketika.
Ada kalanya kita merasakan bahawa setiap kasih sayang yang
kita terima adalah yang terbaik yang takkan pernah mengecewakan kita. Kasih dan
sayang takkan pernah terpisah.Kasih dan sayang sering kali mengeratkan dua hati
yang saling merindui. Namun, suatu masa kasih dan sayang akan terpisah. Terpisah
kerana sikap kita yang lupa untuk menghargai setiap ruang dan peluang yang
diberi. Terpisah kerana kita dibuai angan yang telah menghanyutkan kita dengan
kebahagiaan sehingga kita melupakan kesusahan yang pernah kita alami bersama. Terpisah
kerana ego yang tinggi membuatkan kita terlupa untuk berpijak di bumi nyata.
Mungkin juga pelangi akan muncul lagi. Namun aku tidak akan
lagi berharap ia hadir seperti mana dulu yang pernah membahagiakan aku. Biarlah
kehadirannya juga mampu mewarnai perjalanan insan lain. Moga kita dalam
keberkatanNya.